Kisah ini berlaku pada diriku sewaktu bercuti di sebuah kawasan chalet di Ulu Langat pada tahun 2006.
Tempat ini sungguh menenangkan di kala siang hari dan pemandangannya cukup cantik dengan pepohon buah-buahan tumbuh di sekeliling kawasan chalet. Ketika itu adalah musim durian dan pada malam pertama aku berada di situ aku dapat mendengar durian gugur ke bumi. Chalet ku berada betul-betul di hadapan sungai yang airnya mengalir deras. Chalet ku pula terletak agak ke dalam dari pusat pentadbiran, kalau berjalan kaki memakan masa lima minit. Oleh kerana kami sampai hari pun dah petang jadi aku dan kawanku pun membuat keputusan untuk bermandi manda di dalam sungai. Airnya cukup dingin, bersih dan kelihatan anak-anak ikan berenang-renang di situ. Sewaktu nak keluar dari sungai, aku tergelincir dan kepala ku terhentak di batu. Ketika itu aku merasakan sesuatu keanehan kerana sewaktu terjatuh seakan-akan ada sesuatu yang menahan kepala ku. Kawan ku yang sedang leka berendam tidak jauh dari ku bergegas bangun mendapatkan aku. Apabila kami sampai di bilik aku terasa sedikit bengkak di pinggir dahi kiri. Tanpa memikirkan apa-apa, setelah mandi dan menyalin pakaian kami pun bersembang di berandah dan mula memetik gambar menggunakan handphone ku.
Malam itu selepas makan malam, kami bersembang lagi di berandah dalam suasana yang gelap gelita. Yang ada hanya cahaya lampu di berandah kami yang agak samar. Hanya kedengaran gemersik air sungai yang seakan-akan menjadi musik di telinga kami. Setengah jam kemudian kami pun masuk ke kamar untuk tidur. Satu lagi kejadian aneh berlaku pada ku malam itu. Aku mendengar dengan jelas suara lelaki berkata sesuatu di telinga kiri ku. Tapi aku tidak mengerti bahasa yang digunakan. Aku pandang ke kanan melihat kawan ku di katil sebelah yang sedang menonton tv. Aku bangun dan bertanya padanya jika dia ada mendengar apa-apa yang aneh. Dia menggelengkan kepala tanpa memandang ke arah ku. Aku merasa semakin seram dan bulu romaku mula meremang. Aku paksa diri untuk tidur. Keesokan harinya pabila kami buka pintu, terdapat 2 biji buah durian yang besar berada di muka pintu.
Bila tiba di pusat pentadbiran kami bertanyakan pada kru chalet jika mereka ada meninggalkan durian di depan pintu chalet kami. Setelah diperiksa, tiada sesiapa di antara mereka yang berbuat begitu. Hari itu tiada banyak yang kami lakukan kecuali relaks dan santai di chalet. Dahi ku masih sedikit lebam tapi tak terasa sakit pun. Malam itu kami melakukan lawatan ke kolam air panas yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan ke dalam sebuah kawasan yang di penuhi rumput dan lalang. Keadaan sekeliling amat gelap gelita dan ada sebuah kolam di situ yang dibuat dari jubin berwarna biru muda. Rombongan kami seramai 6 orang sangat teruja dan cepat-cepat menanggalkan sepatu dan merendamkan kaki kami ke dalam kolam air panas itu. Selain kami, ada 2 orang lelaki Indonesia yang juga sedang berendam di situ. Kelihatan mereka datang dengan lori. Setengah jam kemudian kami pun beredar untuk kembali ke chalet. Namun sebelum beredar, seseorang telah memberi ku sebiji dragon fruit. Aku tidak melihat wajahnya dan hanya berterima kasih padanya.
Setelah sampai ke chalet, kami pun membersihkan diri dan tidur awal kerana kami akan pulang keesokan harinya. Sewaktu siap berkemas pagi itu, aku membuat keputusan untuk meninggalkan sahaja buah yang ku terima malam tadi di kamar. Sewaktu di pusat pentadbiran, aku menceritakan peristiwa aku mendengar bisikan pada salah seorang kru senior di situ. Aku diberitahu peristiwa itu pernah berlaku pada seorang gadis sebelum ini dan setelah pulang ke rumah gadis itu terus sakit teruk.
Setelah tiba di rumah aku pun mula melihat gambar2 yang ku petik di handphone ku. Dan alangkah terperanjatnya aku apabila aku dapati ada se sosok bayangan lelaki berdiri di sebelah kiriku. Aku menjadi cemas dan langsung menunjukkan gambar itu kepada kakak angkat ku. Dia menasihati aku supaya men'delete' gambar itu. Kerana degil aku biarkan sahaja dulu gambar itu. Beberapa hari kemudian bila aku lihat gambar itu, suatu lagi kejutan aku alami. Ada satu lagi sosok bayangan berdiri di sebelah bayangan pertama. Aku tunjukkan sekali lagi kepada kakak angkat ku. Kali ini aku dimarah teruk olehnya. Gambar itu segera aku delete dan beberapa hari selepas itu aku pula jatuh sakit dan terpaksa ditahan di hospital kerana kekurangan sel darah merah pada paras berbahaya.
Kisah ini adalah kisah benar dari pengalaman peribadi saya dan bukan rekaan. Berhati-hatilah jika bercuti di chalet yang terumatamanya berada di kawasan sungai. Saya tak berani nak ulas lebih lanjut kerana tidak cukup ilmu.
No comments:
Post a Comment